Apakah Kesan Madu terhadap kesihatan ?, Khasiat Madu Untuk Gaya Hidup Sihat
Sama seperti minyak zaitun, madu adalah makanan yang diamalkan sejak zaman silam sebagai sumber makanan tenaga yang penting. Ia juga digunakan sebagai ubat untuk merawat beberapa jenis penyakit.
Malah madu disebut dalam al Quran sebagai makanan yang bernutrisi dan mengandungi penyembuh untuk penyakit.
Bila saya mencadangkan pengambilan madu sebagai sumber rawatan, ramai yang senyum. Saya lagi senyum sebab percaya mereka kurang membaca. Kalau peringkat profesional dalam penjagaan kesihatan, kenalah baca banyak journal dan buku-buku ilmiah berkaitan perubatan. Tidak cukup buku teks yang kita tinggalkan 10-15 tahun dulu.
Dalam banyak jajian menunjukkan bahawa hampir semua madu mengandungi flavonoid, asid fenolik, asid askorbik, tokoferol, enzim serta pelbagai jenis vitamin dan mineral.
Komposisi utama madu ialah gula ( 95-97%) iaitu fruktosa dan glukosa. Oleh itu ia sumber tenaga yang cepat. Bagi pesakit diabetes, pengambilan madu haruslah diambil dalam kuantiti yang tidak berlebihan supaya ia memberikan manfaat, bukan kemudaratan.
Madu juga mengandungi gula fruktooligosakarida (4-5%) yang baik untuk pertumbuhan bakteria probiotik dalam usus manusia.
Madu mengandungi asid amino proline yang penting untuk pembinaan kolagen dan tulang rawan.
Vitamin yang terkandung dalam madu termasuk vitamin B, vitamin A, dan vitamin C, yang sangat baik untuk mengawal keradangan dalam tubuh manakala mineral yang biasa terkandung dalam madu ialah kalium, magnesium, kalsium, natrium, sulfur, besi dan fosfat.
Apa yang penting, dalam madu terdapat ada pelbagai enzim yang tidak terdapat dalam gula putih. Antara enzim dalam madu ialah enzim oksidase, invertase, amilase dan katalase.
Enzim glukosa oksidase penting dalam penguraian glukosa kepada hidrogen peroksida dan asid glukonik. Hidrogen peroksida mempunyai sifat melawan mikroorganisma patogen, manakala asid glukonik boleh membantu penyerapan kalsium dalam tulang manusia.
Selain itu madu mengandungi sebatian antioksida yang lain seperti fenolik, flavonoid dan vitamin C yang menghalang penyakit kronik seperti kanser, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyumbatan koronari arteri. Ia juga bagus untuk merawat kerosakan saraf dan melambatkan proses penuaan.
Jadi madu ialah produk semula jadi digunakan sejak dulu untuk pelbagai tujuan perubatan dan kesihatan. Sekarang ia dibuktikan secara saintifik.
Carilah madu yang asli (tulen) dan berkualiti. Waspada dengan segelintir pengusaha madu mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang mudah membuat madu tiruan dengan mencampurkan gula dan bahan kimia yang terlarang untuk menghasilkan madu seakan-akan sama warna dan rasa seperti madu asli.
Saya sendiri mengamalkan Madu Asli Pergunungan Dari Kyrgyzstan bersama minyak zaitun OLIVIE.
#HealthDrZubaidi